Jom Main Tekan - Tekan!

Wednesday, January 6, 2010

Kisah sekolahku

Hari : Isnin

Tarikh: 4 Januari 2010

Aktiviti: Hari Pertama Persekolahan

Refleksi:

Malam sebelum hendak pergi ke sekolah, saya berasa sangat takut kerana saya tidak tahu bagaimana untuk memulakan tugas saya sebagai penyelaras bagi membuka program Pendidikan Khas di sekolah tersebut.

Apabila sampai di sekolah, hati saya berdebar – debar sebab takut. Saya tidak tahu bagaimana hendak melakukan tugas saya. Tapi saya bernasib baik kerana terdapat guru – guru yang banyak menolong saya. Sesudah habis perhimpunan, saya telah berjumpa dengan Guru Penolong Kanan bagi menanyakan bagaimana dengan saya. Selepas itu, saya telah berjumpa dengan Guru Besar untuk bertanya dengan lebih lanjut. Beliau telah menyatakan bahawa kelas untuk program Pendidikan Khas sudah ada. Selain daripada itu, kelas tersebut juga akan dicat. Saya berasa sangat lega dan bersemangat. Selepas itu, saya telah meninjau kelas tersebut bagi mendapat gambaran bagaimana saya hendak mengubah kelas tersebut menjadi kondusif.

Sebelum mendapat tugas yang sebenar, saya telah diberi tugas untuk menjadi guru kelas sementara bagi kelas 5D. Saya telah belajar sesuatu yang baru bagaimana untuk menguruskan yuran murid – murid.

Hari : Selasa

Tarikh: 5 Januari 2010

Aktiviti: Relif Kelas 4B

Refleksi:

Pada hari ini, saya telah diminta untuk relif kelas bagi kelas 4B. Ini adalah kerana cikgu yang sepatutnya masuk ke dalam kelas tersebut tidak ada lagi.

Memandangkan saya relif pada waktu PSV jadi saya meminta murid untuk melukis pemandangan berkaitan di tepi pantai. Saya meminta murid untuk menyiapkan tugasan tersebut dalam masa 1 jam.

Selepas relif, saya menyusun kerusi dan meja di dalam kelas bagi program Pendidikan Khas yang akan datang. Saya telah pergi ke tempat Pra Sekolah bagi menampakkan gambaran bagaimana saya ingin mencorakkan kelas saya pada masa akan datang. Selain daripada itu, saya banyak bertanya kepada guru Pra Sekolah tersebut untuk mendapat sedikit input yang boleh diaplikasikan kedalam kelas saya.

Hari : Rabu

Tarikh: 6 Januari 2010

Aktiviti: Relif Kelas 5C

Refleksi:

Pada hari ini saya telah mendapat relif bagi kelas pada pukul 8.00 – 9.00 pagi. Namun, ada seorang cikgu minta ditukarkan saya kepada 5C pada pukul 8.30 – 9.30 pagi. Apabila masuk ke kelas tersebut, saya melihat di atas meja setiap orang murid terdapat kertas lukisan. Jadi saya meminta murid untuk melukis gambar pemandangan di air terjun pula. Ramai murid yang mengeluh mengatakan ia sukar tetapi saya banyak memberi motivasi kepada mereka. Saya meminta murid menghantar lukisan tersebut pada hari ini juga. Semua orang murid memberi kerjasama yang baik.

Selepas relif, saya menyiapkan menulis buku yuran bagi kelas 5D. Apabila telah selesai tugas tersebut, saya terus ke kelas Pendidikan Khas bagi menyambung kerja yang tidak siap lagi. Saya telah mengelap perabot – perabot yang terdapat di dalam kelas. Saya juga telah menelefon En Azlan selaku Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas bagi mengetahui bagaimana hendak mendapat cat bagi mengecat dinding kelas Pendidikan Khas. Saya berasa sangat teruja untuk menjalankan tugas saya.

No comments: